KANGAR, 28 Okt (Bernama) — Pembangunan Pelabuhan Sanglang bernilai RM1 bilion dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Perlis menerusi pengukuhan jaringan perdagangan maritim, peningkatan kecekapan logistik dan pembukaan peluang pelaburan baharu.
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata penyediaan kemudahan pelabuhan yang cekap dan berdaya saing mampu meningkatkan keyakinan pelabur, merancakkan aktiviti perdagangan serta menyokong perkembangan sektor komersial dan perindustrian negeri.
Beliau berkata pembangunan itu turut berpotensi membantu kerajaan negeri mempelbagaikan struktur ekonomi, termasuk meneroka peluang dalam sektor tenaga dan aktiviti maritim
“Pelabuhan Sanglang berpotensi menyokong pelbagai aktiviti maritim melalui perancangan kemudahan merangkumi terminal pelbagai guna, terminal Roll[1]on/Roll-off (RORO), pengendalian kargo am, kemudahan perikanan dan aktiviti berkaitan tenaga.
“Kepelbagaian fungsi ini berpotensi memperluas peranan pelabuhan dan menyediakan ruang kepada perkembangan aktiviti ekonomi baharu selain melengkapi aspirasi negeri menerusi Perlis Energy Hub dan Perlis Power Hub,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peletakan batu asas pembinaan Pelabuhan Sanglang dekat sini hari ini yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Abu Bakar berkata kemudahan terminal RORO yang dirancang berpotensi melancarkan pergerakan kenderaan dan barangan di samping memperkukuh jaringan pengangkutan maritim antara Perlis dengan destinasi strategik lain khususnya Langkawi.
Beliau berkata penyediaan prasarana pelabuhan, kedalaman alur pelayaran dan kemudahan operasi yang bersesuaian juga berpotensi membolehkan perkhidmatan maritim dilaksanakan dengan lebih cekap, fleksibel dan berterusan tanpa terlalu terikat kepada kekangan pasang surut air.
“Keupayaan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan hubungan pengangkutan maritim malah berpotensi memperkukuh jaringan perdagangan serta memberikan nilai tambah kepada aktiviti ekonomi dan logistik negeri,” katanya.
Abu Bakar berkata Pelabuhan Sanglang berpotensi melengkapi pembangunan strategik lain di negeri itu termasuk Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin-Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata fasa pertama pelabuhan itu disasarkan siap pada suku kedua 2029, dengan kemudahan pengendalian kargo maritim dan terminal khusus bagi melengkapkan rangkaian logistik negeri.
Beliau berkata projek itu dianggarkan menelan kos pembangunan RM1 bilion, termasuk RM675 juta bagi kos pembinaan.
“Pelabuhan Sanglang ini dirancang dengan kemudahan trestle dan beberapa terminal yang memanjang hingga empat kilometer ke tengah laut bagi menampung pelbagai aktiviti maritim serta keperluan pengendalian kargo yang berbeza,” katanya.
Pada majlis itu, Raja Perlis turut berkenan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Mutiara Perlis Sdn Bhd yang diwakili Pengarahnya Datuk Amir Abdillah Shabaruddin dengan Berjaya Construction Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Property Berhad Syed Ali Shahul Hameed.
Source
Other Sources:








