KUNMING, China: Kerajaan Negeri Perlis telah memeterai kerjasama strategik bersama China Kunming South Asia and Southeast Asia International Logistics Research Institute (SSILR).
Ia diadakan sempena Lawatan Rasmi Delegasi Negeri Perlis di Yunnan, China yang menyaksikan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan dan logistik antara Malaysia dan China.
Kerjasama tersebut direalisasikan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mutiara Perlis Sdn Bhd dan SSILR, merangkumi bidang pengurusan Pelabuhan Darat Perlis Inland Port (PIP).
Perjanjian ini dijangka mampu meningkatkan keupayaan operasi, mengoptimumkan rangkaian perdagangan serta menjadikan PIP sebagai hab logistik yang efisien dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Ketibaan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bersama delegasi di ibu pejabat SSILR disambut mesra oleh mantan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Wilayah Yunnan, Wang Yiming, bersama barisan kepimpinan tertinggi institusi tersebut.
Dalam majlis bersejarah itu, Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail, turut dijemput untuk menyaksikan sesi menandatangani MoU bagi pihak Kerajaan Negeri Perlis.
“Saya dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri turut dijemput untuk menyaksikan sesi menandatangani MoU ini bagi pihak Kerajaan Negeri Perlis,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang di _Facebook_ rasminya.
Menurut Mohd Shukri, kerjasama ini bakal membuka laluan perdagangan yang lebih luas melalui perkongsian kepakaran dalam pengoperasian pelabuhan darat moden dan berdaya tahan, selain memperkukuh hubungan dua hala Perlis–Yunnan.
“Kerjasama ini akan membuka peluang perdagangan yang lebih luas antara China dan Malaysia melalui perkongsian kepakaran dalam pengoperasian pelabuhan darat.
“Insya-Allah, ini adalah langkah strategik yang akan memberikan manfaat jangka panjang kepada ekonomi negeri, sekali gus memperkasakan peranan PIP dalam jaringan perdagangan serantau,” ujarnya.
Lawatan rasmi ini menjadi penutup siri kunjungan kerja delegasi negeri ke beberapa lokasi strategik di Yunnan, sebelum dijadualkan pulang ke tanah air hari ini.
Source:
Others:
FACEBOOK YAB Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli